Jadikan Pengajaran




KOTA BHARU: Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat terpaksa dikejarkan ke sebuah hotel murah bandar ini pagi semalam, bagi membantu usaha memujuk turun seorang penuntut kolej yang mengancam terjun dari bumbung bangunan tiga tingkat itu dalam usaha mengelak ditahan penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) selepas dikesan berkhalwat. Pemangku Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Kelantan, Mohd Rizal Buang, berkata pihaknya mengejarkan sepasukan anggota ke lokasi terbabit selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 10.10 pagi. "Ketika anggota bomba sampai, pelajar terbabit sedang di tingkat atas hotel itu dan mengancam mahu membunuh diri secara terjun dari bangunan berkenaan jika mendapati polis ada di situ. "Bagaimanapun dengan menggunakan pujukan dan psikologi, anggota kita berjaya menyelamatkan penuntut terbabit serta membawanya turun. Kita turut menghubungi ibunya memaklumkan kejadian itu, sebelum dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu oleh JAHEAIK," katanya di sini, semalam. Sementara itu, jurucakap JAHEAIK berkata, pemuda terbabit bersama pasangannya yang juga seorang pelajar berusia 16 tahun mulanya diserbu penguatkuasa jabatan itu kerana disyaki berkhalwat di hotel berkenaan kira-kira jam 9.15 pagi. "Ketika serbuan dibuat, penguatkuasa kami mengetuk pintu bilik mereka sebelum pemuda itu meminta tempoh dengan alasan hendak memakai seluar sebelum kami terdengar bunyi cubaan memecah siling. "Berikutan itu, kami mendapatkan kunci pendua daripada pengurusan hotel untuk memasuki bilik berkenaan sebelum mendapati pasangan terbabit cuba melarikan diri dengan memanjat siling," katanya. Beliau berkata, pelajar perempuan terbabit kemudian berjaya dipujuk turun menerusi sebuah bilik yang berselang lima bilik dari situ, sementara teman lelakinya memanjat bumbung sebelum mengancam untuk terjun. Katanya, bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini, pasukan terbabit kemudian mendapatkan bantuan bomba dan penyelamat bagi menghalang usaha pelajar yang berasal dari Nilam Puri itu dan sedang menuntut di sebuah kolej dekat Kuantan. "Kita difahamkan pelajar terbabit mengambil pasangannya di sebuah sekolah dekat Mulong kira-kira jam 8 pagi, sebelum mereka menginap di hotel terbabit. "Pasangan terbabit dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 9 (1) dan (II), Kanun Jenayah Syariah, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 ataupun tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

Comments