Suami isteri dibunuh kejam

Dipetik daripada : Berita Harian

KUALA KRAI: Sepasang suami isteri warga Thailand yang bekerja mengambil upah menoreh getah dalam kebun milik penduduk kampung dekat Peria di sini, ditemui mati dibunuh secara kejam, awal pagi semalam. Dalam penemuan kira-kira jam 6.30 pagi di Kampung Bukit Chengal dekat Peria itu, mayat Anuar Dahman, 27, ditemui diperosok dalam tong drum berisi air, manakala mayat isterinya, Hasmah, 18, yang sedang mengandung tiga bulan, pula dicampak dalam perigi. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim, berkata mayat mangsa ditemui seorang wanita yang juga saudara Anuar, ketika meninjau rumah kongsi pasangan itu untuk mencari mereka selepas mendapati kedua-duanya belum keluar menoreh pagi semalam. "Pasangan terbabit dikatakan bekerja mengambil upah sebagai penoreh getah di kebun milik penduduk tempatan itu sejak dua bulan lalu, dipercayai dibunuh antara jam 12 tengah malam hingga jam 6 pagi ini. "Mayat suami ditemui dalam tong drum berisi air, manakala isteri ditemui dalam perigi berdekatan rumah mereka. Setakat ini, polis sedang mengenal pasti motif pembunuhan pasangan ini," katanya kepada media di sini, semalam. Rumah kongsi yang didiami pasangan terbabit sejak bekerja di situ, terletak di puncak cerun bukit dalam kawasan kebun getah yang ditoreh mereka setiap hari. Mazlan enggan menyatakan bagaimana pasangan suami isteri muda itu dibunuh penyerang mereka dengan alasan siasatan rapi sedang dijalankan pakar patologi dari Kuantan yang dipanggil membantu siasatan di lokasi pembunuhan itu. Namun, katanya, ekoran kejadian itu, polis menahan seorang lelaki warga Thailand berusia 21 tahun, untuk soal siasat bagi membantu siasatan pembunuhan yang sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mayat pasangan terbabit dihantar untuk bedah siasat di Hospital Kuala Krai, selepas polis menyelesaikan siasatan di lokasi penemuan itu lewat petang semalam. Sementara itu, sepupu Anuar, Nik Noh Nik Soh, 48, berkata beliau bersama anak lelakinya, Rauf Haron, 11, meninjau rumah kongsi pasangan terbabit ketika hendak keluar menoreh, awal pagi semalam. "Saya tinggal di kongsi di bawah, sementara mereka tinggal di puncak bukit. Pagi tadi, masa saya keluar menoreh, saya dapati rumah kongsi mereka gelap tetapi masa itu mereka belum keluar menoreh. "Saya kemudian masuk ke dalam rumah itu sendirian tetapi mereka tak ada dalam rumah yang kelihatan berselerak itu. Ketika itu, anak saya (Rauf) yang menunggu di luar menjerit dan saya bergegas mendapatkannya sebelum mendapati dia terkejut melihat mayat Hasmah yang berkemban, dibuang dalam perigi berdekatan yang airnya sudah bertukar menjadi merah akibat darah mangsa," katanya. Nik Noh berkata, beliau kemudiannya bergegas memaklumkan penemuan itu kepada penduduk kampung sebelum mereka kembali ke rumah kongsi pasangan itu dan kemudian menemui mayat Anuar yang diperosok dalam tong drum secara kepala di bawah, manakala kaki di atas.

Comments